PKNS sentiasa komited di dalam menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporatnya. Inisiatif PKNS ini merangkumi pelbagai aspek seperti:

  • SUMBANGAN KEPADA KERAJAAN NEGERI
  1. Tabung Warisan

PKNS memberikan dividen kepada Kerajaan Selangor yang mana dua peratus daripada keuntungan bersih sebelum cukai di peringkat Akaun Kumpulan Penyata Kewangan Beraudit tahunan akan disalurkan ke dalam Tabung Warisan. Setakat 2015, PKNS telah menyalurkan sejumlah RM48.9 juta untuk Tabung Warisan bagi tujuan pembayaran dividen kepada Kerajaan Selangor.

  1. Zakat

Bagi memenuhi kewajipan sebagai agensi yang berlandaskan syariat Islam, PKNS mula membayar zakat perniagaan pada tahun 2006 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). PKNS percaya dengan adanya penyucian harta melalui zakat, PKNS mampu memantapkan lagi pengurusan organisasi dari sudut pembangunan modal insan dan keberkatan dalam setiap urusan. Sehingga tahun 2017, sebanyak RM52 juta telah disalurkan kepada LZS bagi tujuan berkenaan.

  1. Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri

PKNS turut menyumbang kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam penganjuran Majlis Rumah Terbuka “Hari Raya Aidilfitri YAB Dato’ Menteri Besar Selangor”. Sejumlah perbelanjaan akan diperuntukan untuk majlis ini setiap tahun. Sejak tahun 2009 hingga 2017, PKNS telah membelanjakan sejumlah RM4.6 juta bagi menjayakan majlis ini. Selain itu, PKNS juga pernah dilantik menjadi tuan rumah bagi menjayakan majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

  1. Sumbangan Lembu Korban

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Kerajaan Negeri Selangor mengadakan Program Penyerahan Lembu Korban untuk diagihkan kepada seluruh sembilan daerah di Selangor meliputi masjid dan surau, projek perumahan rakyat (PPR), orang asli dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Sehubungan itu pada setiap tahun, PKNS akan menyediakan peruntukan khas untuk sumbangan lembu korban bersama-sama anak syarikat kerajaan negeri yang lain. Bermula dari tahun 2008 hingga 2017, PKNS telah menyumbang kepada Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM5.9 juta bagi peruntukan lembu korban tersebut.

  1. Kerajaan Prihatin

Program Kerajaan Prihatin merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mencapai status negeri maju yang seimbang dari aspek fizikal dan spiritual dengan tujuan utama untuk membantu rakyat memiliki kediaman yang selesa sebagai tempat berteduh. Bertepatan dengan visi PKNS iaitu “Membina Komuniti, Memperkasa Kehidupan… Merealisasi Impian”, pihak perbadanan mengorak langkah bersama Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat Selangor mendapat nikmat kehidupan yang selesa.

Menerusi Program Kerajaan Prihatin ini, PKNS telah membelanjakan dana sebanyak RM7.9 juta bagi membaikpulih dan membina semula 410 unit rumah dalam tempoh enam tahun. Di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), PKNS akan memastikan lebih ramai lagi rakyat Selangor mampu mengecapi kehidupan yang selesa dan lebih kondusif.

  1. Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat Selangor

Modal insan merupakan aset yang paling berharga dalam sesebuah organisasi. Selain mempunyai warga kerja yang kompeten, PKNS juga mahu setiap kakitangannya mempunyai ruang dan peluang untuk memajukan diri. PKNS percaya dengan adanya program pembangunan modal insan, ianya mampu memberi kejayaan kepada PKNS kelak. Ke arah itu, PKNS telah menyumbang sebanyak RM4.0 juta kepada Tabung Pendidikan yang dikelolakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sumbangan PKNS kepada Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat Negeri Selangor ini diharap dapat menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi biasiswa, dermasiswa atau sebarang bentuk bantuan kepada warga kerja anak syarikat Kerajaan Negeri dan anak mereka yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

  1. Kejohanan Golf Worldwide Holdings Selangor Masters

Kerajan Negeri Selangor dengan kerjasama anak syarikat PKNS iaitu Worldwide Holdings Berhad buat julung kalinya telah menganjurkan Kejohanan Golf Jemputan Raja Muda Worldwide Holdings Selangor pada tahun 2015. Kejohanan ini adalah menggantikan Kejohanan Golf Selangor Masters yang bermula sejak tahun 2009 yang mana telah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor.

Sumbangan yang disalurkan ini adalah bagi menyokong program-program tanggungjawab sosial korporat PKNS (CSR) kepada masyarakat dan pembangunan komuniti menerusi pemberian sumbangan kepada Yayasan Raja Muda Selangor. Pada masa yang sama, usaha yang diambil oleh PKNS sendiri adalah inisiatif terancang dan berterusan kepada Kerajaan Negeri ke arah mempromosi pelancongan sukan di Selangor.

  1. MAKSAK Selangor

Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Selangor (MAKSAK Selangor) merupakan persatuan agensi-agensi kerajaan yang terdiri daripada 63 badan gabungan jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun di Negeri Selangor.

Ke arah pembangunan sukan di Selangor, PKNS akan menaja pembiayaan kontinjen MAKSAK Selangor ke Kejohanan MAKSAK Malaysia. Sehingga tahun 2017, PKNS telah membelanjakan sebanyak RM678,000.00. PKNS turut menyediakan lokasi latihan bagi kontinjen bola sepak MAKSAK di Kompleks Sukan PKNS SS7 Kelana Jaya yang mana pernah diwarnai dengan aksi pemain lagenda bola sepak negara seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan ramai lagi.

Dengan cara ini PKNS berharap sumbangan ini mampu membantu MAKSAK dalam menyediakan ‘platform’ kepada kakitangan kerajaan di Negeri Selangor supaya lebih aktif dalam aktiviti sukan. Menerusi program yang dianjurkan MAKSAK, bakat-bakat baru dapat diasah dan diperkembangkan lagi sama ada dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

KOMUNITI DAN KEBAJIKAN SOSIAL

  1. Subsidi Pembinaan Rumah Kos Rendah dan Mampu Milik (Rumah Selangorku)

Selaras dengan peranannya sebagai agensi pembangunan sosio-ekonomi di Negeri Selangor, PKNS turut memberi penekanan kepada tanggungjawab pembangunan Rumah Mampu Milik khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Peningkatan kos serta taraf hidup dari semasa ke semasa memberi kesedaran kepada PKNS untuk memastikan rakyat Selangor berpeluang memiliki kediaman dengan harga mampu milik.Dengan jenama “Rumah Selangorku Idaman PKNS”, sudah tentu pembangunan kediaman yang dihasilkan merangkumi persekitaran yang kondusif dan berkualiti. Sepanjang tahun 2017, pelbagai projek Rumah Selangorku Idaman PKNS telah dirancang untuk dibina di mana ia turut melibatkan Anak Syarikat dan projek penswastaan PKNS. Penglibatan Anak Syarikat dan projek penswastaan PKNS adalah bagi menyokong hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk membina 15,000 unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh 3 tahun. Sebanyak 12,883 unit lagi akan dibina sehingga tahun 2020.

Antara Projek Rumah Selangorku Idaman PKNS yang telah siap dibina oleh PKNS sehingga tahun 2017 adalah seperti berikut:-

NO. KAWASAN JENIS RUMAH UNIT
1. PKNS

  1. Bukit Botak
  2. Bandar Baru Bangi
  3. Antara Gapi, Hulu Selangor
  4. Antara Gapi, Hulu Selangor
  5. Kota Puteri, Gombak
 

Rumah Berkembar

Pangsapuri

Rumah Teres 1 ½ Tingkat

Rumah Teres 2 Tingkat

Townhouse 2 Tingkat

 

1,422

124

129

80

198

JUMLAH 1,953

 

  1. Subsidi Penyelenggaraan Pangsapuri

Bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan pangsapuri lebih efisien, PKNS telah membahagikan kawasan-kawasan di bawah bidang kuasanya kepada 7 bahagian seperti Petaling Jaya, Ampang Hulu Klang, Kuala Lumpur, Shah Alam, Bangi, Kota Damansara, dan Bandar Sultan Suleiman. Pada tahun 2007, sebanyak 60 buah pejabat telah siap dibina di setiap zon untuk tujuan pembayaran bil, menerima aduan serta memberi maklum balas kepada penghuni.

PKNS telah menanggung semua kos bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan seperti kebersihan, penyelenggaraan lif, membaiki kerosakan paip dan bumbung, mengecat dan sebagainya.

  1. Program Sayangi Pangsapuri Kita

Di bawah program ‘Sayangi Pangsapuri Anda’, dengan tema ‘Pangsapuri adalah Harta Kita’, Bahagian Urus Harta telah dipertanggung jawabkan untuk melaksanakan program ini bersama pemilik-pemilik pangsapuri di kediaman PKNS. Antara program-program yang dijalankan ialah:

  • Kempen Kesedaran Pembayaran Bil Penyelenggaraan
  • Program Penyatuan, Maklumbalas dan Bimbingan bersama penduduk
  • Jawatankuasa Pangsapuri
  • Kempen Kesedaran Pegangan Hak Milikan Pangsapuri dan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB)
  • Pertandingan Sukan Pangsapuri
  • Bengkel Cuti Sekolah – Langkah berjaga-jaga ketika kebakaran, lif, vandalisme dan elektrik
  • Program Guna Semula
  • Pertandingan Pengurusan.

 Program Baik Pulih Rumah

Pada tahun 2012, PKNS telah mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan Program Baik Pulih Rumah kepada asnaf fakir miskin khususnya penduduk luar bandar dan pinggir bandar yang hidup di bawah paras garis kemiskinan mahupun yang berpendapatan rendah. Tujuan program ini adalah untuk menghulurkan bantuan kepada mana-mana keluarga yang miskin mahupun golongan orang kurang upaya (OKU) yang daif biarpun berada di luar kawasan pembangunan PKNS supaya dapat menikmati kediaman yang selesa.

Sebanyak RM 3,230,084.24 telah disalurkan untuk program ini dari tahun 2013 hingga 2017. Berikut adalah peruntukannya:

RM283,751.30

(18 buah Sabak Bernam)

RM459,430.14

(14 buah Petaling)

  1. Rumah Puteri Arafiah

Rumah Puteri Arafiah merupakan pusat perlindungan remaja yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam. Rumah Puteri Arafiah yang beroperasi sejak Jun 2011 ditubuhkan bagi membimbing dan memberi perlindungan kepada remaja bermasalah menerusi penekanan kepada elemen pembangunan modal insan dan kerohanian.

Rumah Puteri Arafiah dikendalikan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) yang dinaungi oleh Yang Amat Mulia Datin Paduka Hajah Tengku Puteri Arafiah Binti Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, sementara isteri Dato’ Menteri Besar Selangor pula bertindak sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Rumah Puteri Arafiah.

Pusat perlindungan remaja tersebut telah beroperasi sejak Mei 2011 dan sehingga 2017, PKNS telah membelanjakan sebanyak RM1.5 juta kepada Rumah Puteri Arafiah bagi tujuan operasi, kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan kawalan keselamatan.

  • PENDIDIKAN
  1. Anjung PKNS Shah Alam

Pusat komuniti yang dikenali dengan nama Anjung PKNS yang terletak di kawasan pangsapuri kos sederhana Seksyen 7 Shah Alam, telah beroperasi pada 1 November 2011 dengan mensasarkan pelajar sekolah menengah dan rendah khususnya bagi penduduk JMB blok 27 hingga 36. Anjung ini dibina dengan kerjasama daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan.

Inisiatif PKNS ini adalah untuk membantu anak-anak penduduk menerusi latihan pembelajaran dan bimbingan akademik secara berterusan. Kaedah pembelajaran yang dilakukan kepada pelajar adalah dengan memberi bimbingan kelas tambahan. Seramai 6 orang tenaga pengajar diperlukan pada satu-satu masa. Kelas ini beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 malam hingga jam 10 malam kecuali pada cuti umum dan cuti sekolah.

Penubuhan Anjung PKNS adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat PKNS bagi membolehkan setiap pelajar sekolah di pangsapuri perumahan tersebut mendapat peluang menyertai kelas ulangkaji selepas waktu sekolah bersama rakan-rakan dengan bimbingan tutor.

Bagi merealisasikan tanggungjawab ini, sehingga 2017, sebanyak RM430,000.00 telah dibelanjakan untuk aktiviti-aktiviti dan kos pembinaan. PKNS juga berhasrat untuk menambah lagi bilangan Anjung PKNS di beberapa kawasan perumahan kos rendah bagi memupuk minat belajar di kalangan kanak-kanak dan sekaligus menghindarkan mereka dari terjebak dengan gejala sosial.

  1. Pusat Tuisyen Anjung Seri Perantau

Inisiatif KASIH PKNS dalam pendidikan juga boleh dilihat dengan pembinaan sebuah pusat tuisyen di Blok L Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang. Pangsapuri ini adalah perumahan PKNS bagi penempatan semula setinggan. Dengan adanya sebuah tempat untuk dijadikan sebagai pusat tuisyen, PKNS berharap ianya mampu menarik minat kanak-kanak untuk belajar dan sekaligus meningkatkan taraf pendidikan mereka.

Pusat tuisyen ini dibina dengan keluasan 1990 kaki persegi dan boleh memuatkan 250 orang dalam satu masa dengan kos pembinaan sebanyak RM96,494.00. Pusat tuisyen ini telah diserahkan kepada Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Perantau supaya premis ini bukan sahaja digunakan untuk aktiviti pembelajaran tetapi juga boleh digunakan bagi menjalankan program-program kemasyarakatan.

  1. Anjung PKNS Kota Damansara

Anjung PKNS Kota Damansara yang siap dibina pada Mei 2017 ini merupakan yang ketiga ditubuhkan oleh PKNS selepas Anjung PKNS Shah Alam dan Anjung PKNS Seri Perantau, Pelabuhan Klang sebagai salah satu inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi aspek pendidikan. Anjung PKNS Kota Damansara ini ditubuhkan selepas mendapat sambutan daripada penduduk dan atas sebab itu PKNS memberi peluang kepada  Badan Pengurusan Bersama (JMB) Semarak 1 untuk mengendalikan Anjung ini sebagai operator  bagi tempoh dua tahun.

Bagi merealisasikan pengurusan Anjung ini berjalan lancar, PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 meliputi bayaran kepada operator, utiliti, penyelenggaraan, program cuti sekolah dan kemasyarakatan.  Kos ini adalah tidak termasuk dengan kos pembinaan dewan tambahan yang menelan kos sebanyak RM80,000

Operasi Anjung PKNS ini terbahagi kepada beberapa segmen seperti kelas tuisyen yang dikhususkan kepada beberapa kelas iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta aktiviti kemasyarakatan.

Bermula pada Julai 2017, seramai 27 orang pelajar sahaja iaitu hanya satu kelas tuisyen dibuka bagi peringkat UPSR dan seterusnya bertambah dengan penyertaan pelajar bagi peringkat PT3 dan SPM masing-masing seramai 20 orang dan 35. Manakala, tenaga pengajar seramai 14 orang adalah terdiri daripada guru bertauliah dan lepasan siswazah universiti.

Sambutan yang diterima amat memberangsangkan kerana jumlah pelajar yang mengikuti kelas tuisyen terkini adalah seramai 82 orang berbanding sasaran asal iaitu seramai 60 orang pelajar sahaja. Tambah menarik, Anjung ini turut berfungsi sebagai pusat komuniti yang menfokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan seperti kelas mengaji, silat, menjahit dan sebagainya.

PKNS berharap agar usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan di samping menjayakan agenda pembangunan yang holistik termasuk melahirkan modal insan yang cemerlang di samping mengekang gejala sosial di Selangor.

  1. Pembinaan Sekolah
    • Asrama Desa

Tanggungjawab Sosial Korporat juga dijalankan tanpa mengambil kira lokasi perumahan PKNS asalkan dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor. Perkara ini boleh dilihat dengan pembinaan sekolah di Sungai Besar iaitu Asrama Desa Pancang Bedena dengan kos pembinaan sebanyak RM5.2 juta. Sekolah ini kemudiannya diserahkan kepada Yayasan Selangor untuk menempatkan pelajar-pelajar yang menerima biasiswa dari yayasan ini.

  • Sekolah KAFA Al-Mubarak

Setiap tahun sumbangan PKNS banyak terarah dalam bidang pendidikan khususnya kepada sekolah agama. Maka, pada tahun 2010 PKNS telah mengambil inisiatif untuk menyumbang dalam pembinaan Sekolah KAFA Al-Mubarak di Seksyen 8, Kota Damansara. PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM450,000 bagi pembinaan sekolah ini. PKNS percaya dengan adanya kemudahan sekolah agama ini bukan sahaja mampu memperoleh ganjaran dalam amal jariah yang dijalankan tetapi bagi memastikan kemudahan seperti ini dapat memberi pulangan dari sudut sosial dalam melahirkan golongan yang berpengetahuan dalam ilmu agama.